Friday, February 6, 2009

Peluang kerja AS meruncing

g


SEBAHAGIAN orang beratur untuk memohon pekerjaan di Lowe's Motor Speedway, dekat Charlotte, Amerika Syarikat kelmarin.


WASHINGTON - Majikan Amerika Syarikat (AS) menamatkan 598,000 pekerja bulan lalu iaitu pemotongan terbesar dalam tempoh 34 tahun, kata Jabatan Buruh semalam sekali gus menunjukkan kegawatan ekonomi AS kini semakin meruncing.

Keadaan itu juga menyebabkan kadar pengangguran di negara kuasa besar itu melonjak kepada 7.6 peratus.

Kehilangan pekerjaan pada bulan lalu itu melebihi ramalan pakar-pakar ekonomi Wall Street iaitu 525,000 pekerjaan dan kadar pengangguran pada angka 7.5 peratus.

Perangkaan itu akan dijadikan alasan oleh pentadbiran Presiden Barack Obama supaya Kongres menyegerakan debat berhubung pelan rangsangan ekonomi beliau yang berjumlah lebih AS$800 bilion (RM2.8 trilion) bagi membolehkan pelan itu segera diluluskan.

Pemotongan kerja pada bulan lalu ialah yang terbesar sejak 602,000 orang diberhentikan pada Disember 1974 manakala kadar pengangguran pula mencapai tahap tertinggi dalam tempoh lebih 16 tahun.

"Ekonomi negara ini menjunam teruk dan keadaan akan menjadi bertambah buruk," kata timbalan presiden firma perunding ekonomi Tempus di Washington, Greg Salvaggio.

Sektor perkilangan ialah yang paling teruk terjejas pada bulan lalu itu dan yang terburuk sejak 26 tahun lalu apabila 207,000 pekerja diberhentikan selepas pemberhentian 162,000 pekerja pada Disember tahun lalu. - Reuters

kosmo! 7/2/09