Saturday, March 7, 2009

Kadar penggangguran tertinggi di Amerika Syarikat

t


BEBERAPA orang mengunjungi pameran kerjaya di New York kelmarin.


WASHINGTON - Kemelesetan ekonomi menyebabkan 651,000 orang diberhentikan kerja di Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu iaitu yang terburuk sejak 1983 lalu, menurut satu perangkaan kerajaan semalam.

Menurut perangkaan itu, kadar pengangguran itu meningkat kepada 8.1 peratus.

Statistik oleh Jabatan Buruh AS itu menyatakan bahawa Februari merupakan bulan terburuk bagi pasaran buruh negara itu sejak 1983.

Walaupun jumlah pembuangan kerja itu sudah diramalkan sebelum ini, perangkaan tersebut mendedahkan tentang keadaan ekonomi AS yang nazak ketika banyak syarikat terpaksa mengurangkan pekerja untuk menghadapi krisis ekonomi.

Jabatan Buruh turut menyemak semula anggaran pemberhentian kerja dua bulan sebelumnya iaitu 655,000 orang pada Januari lalu berbanding 598,000 dan 681,000 orang pada Disember iaitu kenaikan daripada 577,000 orang.

Beberapa pegawai berkata, data itu turut menunjukkan bahawa jumlah pemberhentian kerja pada Disember merupakan yang terburuk pernah direkodkan sejak Oktober 1949.

Menurut mereka, sejumlah 4.4 juta pekerjaan melayang sejak kemelesetan ekonomi mula melanda AS pada Disember 2007 dengan 2.6 juta orang hilang pekerjaan sepanjang empat bulan lalu.

Sektor pembuatan memberhentikan 278,000 orang pada bulan lepas manakala bidang perkhidmatan hilang 375,000 pekerja pada tempoh sama.

Bagaimanapun, terdapat beberapa sektor mencatat pertambahan kakitangan dalam skala kecil termasuk bidang pendidikan dan kerajaan. - AFP