Monday, August 31, 2009

Hatoyama saran dasar pandang ke Asia



PENGUNDI keluar seawal 7 pagi di Tokyo semalam untuk membuang undi.

Perdana Menteri baru Jepun cadang menggunakan mata wang bersama negara serantau

TOKYO: Yukio Hatoyama yang muncul sebagai Perdana Menteri baru selepas keputusan pilihan raya umum Jepun semalam, mahu negara matahari terbit itu mengamalkan dasar pandang ke Asia dan tidak lagi ke Amerika.

Malah, pemimpin Parti Demokratik Jepun (DPJ) itu mencadangkan pembentukan Komuniti Asia yang menggunakan mata wang bersama berdasarkan model Kesatuan Eropah.


Hatoyama, 62, seorang jurutera yang mendapat latihan di Stanford, juga memberi jaminan untuk meletakkan kepentingan orang awam lebih tinggi daripada mereka yang mempunyai kuasa birokrasi dan perniagaan besar, selain mengurangkan pergantungan dengan Amerika.

Beliau turut menjanjikan pemberian elaun tunai untuk membesarkan anak, pendidikan sekolah tinggi percuma, gaji pokok lebih tinggi, pemotongan cukai petrol dan menamatkan bayaran tol di lebuh raya.

Seramai 103 juta rakyat Jepun yang keluar mengundi semalam menyingkirkan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah negara itu sejak 1955 dan meletakkan calon DPJ menguasai dewan rendah Parlimen.

Pengundi memenuhi pusat mengundi seawal 7 pagi waktu tempatan semalam rekod tinggi jumlah penduduk yang keluar mengundi.

Pemerhati politik dan media sejak awal lagi sudah meramalkan DPJ akan menang besar dengan menguasai lebih 300 kerusi daripada 480 yang dipertandingkan.

Dalam satu artikel tulisannya yang disiarkan The New York Times, Hatoyama berkata, Jepun tidak boleh lupa ia terletak di benua Asia.

"Saya berpendapat rantau Asia Timur yang kian cergas, perlu diakui sebagai asas kewujudan Jepun," katanya.

Sementara itu, perdana menteri yang tewas, Taro Aso berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) berikutan kekalahan teruk yang dialami.

"Saya perlu memikul tanggungjawab. Perasaan tidak percaya dan tidak puas hati rakyat terhadap LDP, sudah wujud sejak sekian lama."

"Kami perlu membuat perubahan dalaman dengan segera dan mengadakan pilihan raya presiden parti," katanya. - AFP