Wednesday, December 28, 2011

Penentangan polisi satu anak



WU WEIPING, yang hamil tujuh bulan keluar pada awal pagi membawa beg galas yang diisi beberapa helai pakaian, komputer riba dan pisau. "Nasib saya sangat baik, jika tidak pasti saya ditangkap," kata Weiping, 35, yang ketakutan. Jika ditangkap, pegawai-pegawai perancang keluarga akan mengheretnya ke hospital untuk melakukan pengguguran secara paksaan.

"Saya akan berjuang sampai mati jika mereka menangkap saya." Selepas melarikan diri, Weiping menyertai komuniti ibu bapa yang ingkar mematuhi polisi di China yang menetapkan hanya seorang anak sahaja dibenarkan bagi setiap pasangan. Kepada yang ingkar, mereka bakal berdepan dengan risiko hilang pekerjaan, wang simpanan dan keselamatan.

Walaupun bilangan agak kecil, mereka mewakili pencetus idea mengubah hak-hak individu. Sungguhpun penentangan itu dilihat lebih cenderung berlaku dalam kalangan keluarga di luar bandar yang kabur terhadap peraturan tersebut, kini ramai ibu bapa dari kawasan bandar seperti Weiping juga terlibat.

Weiping tampil dengan alasan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk menetapkan bilangan anak-anak yang boleh mereka miliki.

Menggunakan ruang sembang siber internet dan blog, ramai ibu bapa menyiarkan tuntutan-tuntutan mereka bagi perancangan dasar keluarga yang lebih liberal dan berharap orang lain akan mengikut jejak langkah tersebut. Malah, beberapa ibu bapa yang berjaya menyelitkan cerita-cerita mereka ke dalam media yang dikawal ketat, menandakan perspektif mereka telah mula dinilai oleh orang ramai.

Selepas mendapat tahu isterinya bakal melahirkan anak kedua, Liu Lianwen menubuhkan forum perbincangan dalam talian yang dipanggil Kelahiran Percuma. Ia bertujuan untuk menukar maklumat tentang dasar satu anak dan cara-cara untuk berdepan dengannya.

Dalam masa kurang daripada enam bulan, ia telah menarik hampir 200 ahli. "Kami idealis," kata jurutera berusia 37 tahun dari pusat bandar China itu. Anak sulung perempuannya dilahirkan pada 18 Oktober lalu. "Kami mahu mengubah sikap orang ramai di sekeliling kita dengan mengubah diri kita sendiri."

Kesan kebebasan kawalan sosial yang dilaksanakan semasa era doktrin di bawah pemerintahan Komunis, rakyat China diberi kebebasan memilih tempat tinggal, pekerjaan dan status perkahwinan. Bagaimanapun, negara itu menetapkan satu undang-undang iaitu rakyatnya dibenarkan memiliki seorang anak sahaja.


WEIPING antara ibu di China yang sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan kelahiran anak keduanya. Wang Yile, 4 (kiri) dan anak lelaki Weiping, Wu Yixiao, 2, di kediaman mereka di Zhuji, wilayah Zhejiang.


Jika ingkar, mereka akan dikenakan hukuman yang berat seperti dicabul status dan tekanan ekonomi.

Tidak dirancang

Adalah sesuatu yang mustahil untuk mengetahui jumlah kanak-kanak yang dilahirkan sebagai anak kedua di negara tersebut. Bagaimanapun, Pengarah Sekolah Renmin, Universiti Sosiologi dan Penduduk di Beijing, Zhai Zhenwu meng anggarkan kurang daripada satu peratus bayi yang dilahirkan daripada 16 juta kelahiran setiap tahun adalah kelahiran yang tidak dirancang.

Liu berpendapat, warga negaranya itu telah dipengaruhi. "Mereka semua merasa selamat dari segi kekayaan apabila memiliki sebuah keluarga yang kecil," katanya. "Namun, propaganda perancangan keluarga selama tiga dekad itu akhirnya telah mengubah cara majoriti ibu bapa di China berfikir tentang melahirkan anak kedua."

Keengganan untuk menjadi ayah juga menjadi salah satu isu kebimbangan bagi demografi. Dasar yang digabungkan dengan kos sara hidup telah membawa kadar kesuburan menurun terlalu mendadak dan terlalu cepat. Walaupun masih memegang status sebagai negara yang mempunyai populasi terpadat di dunia iaitu 1.3 bilion, hakikatnya pertumbuhan penduduk China amat perlahan.

"Kebimbangan China sekarang ialah ketiadaan pertumbuhan penduduk. Ia berhadapan dengan penuaan penduduk yang pesat manakala orang muda tidak mahu memiliki anak," kata pengarah Pusat Brookings-Tsinghua untuk Dasar Awam, satu badan kerjasama akademik penyelidikan AS-China yang berpusat di Beijing, Wang Feng.

Wang melihat bencana yang lebih buruk akan dihadapi apabila generasi bayi tahun 1960-an kini dalam persaraan dan usia tua.

Tenaga buruh China, berkurangan secara mendadak akibat dasar satu anak dan masalah itu terus berlanjutan. Beliau berhujah bahawa pihak pemerintah perlu memberi peluang kepada semua orang untuk memiliki sekurang-kurangnya dua orang anak.

Wang berpendapat, masih ramai orang China yang memilih untuk mempunyai seorang anak kerana bimbang kemampuan mereka membesarkan anak lebih daripada seorang. Penalti yang dikenakan ke atas mereka yang ingkar juga sangat berat.

Sesiapa yang ditangkap perlu membayar yuran pampasan sosial. Pampasan itu boleh mencecah di antara empat hingga sembilan kali pendapatan tahunan keluarga, bergantung kepada wilayah dan pilihan biro perancang keluarga di sesebuah kawasan.


KOS sara hidup yang tinggi di China menyebabkan kadar kesuburan di negara itu semakin merudum.


Hilang hak

Ibu bapa yang terikat dengan pekerjaan dengan pihak pemerintah boleh kehilangan jawatan atau diturunkan pangkat. Pada masa yang sama, anak yang lahir 'di luar rancangan' itu pula akan dinafikan faedah pendidikan dan kesihatannya.

Mereka yang tidak bekerja dengan pihak pemerintah China mungkin tidak begitu bimbang berbanding mereka yang bekerja dengan pihak pemerintah. Jika mereka mampu membayar yuran yang tinggi dan tidak kisah kehilangan faedah, masih terdapat perkara-perkara lain yang menghalang mereka daripada mempunyai anak tambahan.

Terdapat kemarahan yang membuak-buak apabila polisi ini dilihat lebih memihak kepada golongan kaya, tetapi orang biasa tidak dapat melakukan apa-apa memandangkan dasar ini adalah dasar tertutup sejak kepimpinan komunis di Beijing.

Pada tahun 2007, pegawai-pegawai di pantai Zhejiang pernah mengugut mahu memalukan keluarga yang mempunyai lebih daripada seorang anak, tetapi kempen itu tidak pernah mendapat kelulusan. Kemungkin kerana ia akan mencemarkan reputasi pihak atasan di negara itu.

Golongan yang paling teruk menerima ugutan ini ialah ibu bapa di bandar, kelas menengah dan berjawatan dalam Parti Komunis, berkedudukan dalam bidang pendidikan atau pekerjaan dalam industri yang dikendalikan oleh pemerintah negeri.

Li Yongan misalnya, dia diperintah membayar 240,000 yuan (RM119,830) selepas anaknya dilahirkan pada tahun 2007 kerana dia sudah pun mempunyai seorang anak perempuan yang berusia 13 tahun. Selepas enggan membayar yuran, Li dinafikan pendaftaran permit isi rumah untuk anaknya sekali gus memaksanya untuk membayar yuran pendaftaran tadika sebanyak tiga kali ganda.

Beliau juga dihalang daripada mengajar fizik di sebuah universiti di Beijing. "Saya tidak pernah menyesal kerana memiliki anak kedua, tetapi saya mengalami kemurungan dan penuh kemarahan bertahun-tahun lamanya," kata Li yang kini terpaksa berjuang untuk melangsungkan hidupnya sebagai seorang guru catur bebas.

Dalam diam-diam, ramai yang mencari jalan untuk mengelak daripada dihukum. Antaranya membayar rasuah atau memalsukan dokumen. Sebagai contoh, anak kedua didaftarkan sebagai kembar adik-beradik yang lebih tua. Kadang-kadang bayi kedua didaftar kepada saudara-mara yang tidak mempunyai anak atau keluarga luar bandar yang dibenarkan untuk memiliki anak kedua tetapi tidak berbuat demikian.

Weiping, mengakui dia tidak pernah berniat melanggar peraturan satu anak itu. Dia menjalani rawatan kesuburan untuk hamil anak pertamanya, iaitu seorang bayi perempuan yang dinamakan Le Le atau kegembiraan apabila diterjemah. Jadi, dia terkejut apabila doktor memberitahu Weiping hamil sekali lagi pada Ogos 2008.

Menurut Weiping, pada awalnya, berita itu mencetuskan perang dingin antara dia dan suaminya. Selepas beberapa minggu, suaminya dapat menerima hakikat tersebut. Namun, pegawai-pegawai perancang keluarga tetap mendesak pengguguran. Begitu juga dengan pengetua sekolah Wu.


CHINA berdepan dengan masalah penuaan penduduknya kerana pertumbuhan kelahiran yang semakin perlahan.


Di rumahnya di pinggir Zhuji, hab tekstil yang mengambil masa beberapa jam dari selatan Shanghai, bekas guru sekolah tinggi itu menceritakan dia terpaksa menceraikan suaminya, kemudian berkahwin dengan sepupunya keesokan hari.

Selamatkan bayi

Weiping berkahwin dengan sepupu yang pernah dijaga dan dibesarkannya. Sepupunya berusia 25 tahun iaitu 10 tahun lebih muda daripadanya. Perkahwinan itu bertujuan menyelamatkan bayi. Perceraian itu berlaku pada 27 September 2008 melibatkan tandatangan dokumen dan bergambar.

Ia berlaku hanya dalam beberapa minit. Perkahwinan pada hari berikutnya juga sesuatu yang pantas.

"Saya masih ingat dan amat gembira pada hari itu," kata Weiping memegang sijil perkahwinan keduanya. "Saya lakukan semua ini kerana saya fikir saya menemui satu cara terbaik untuk menyelamatkan bayi saya."

Tetapi masalah itu tidak selesai. Apabila pasangan pengantin memohon untuk mendapatkan permit kelahiran, pegawai-pegawai memaklumkan kepada mereka kehamilan sepatutnya berlaku selepas perkahwinan kedua.


KOSMO! Online 29.12.2011

No comments:

Post a Comment