Wednesday, January 28, 2009

Krisis makanan teruk pada 2050

Kegawatan ekonomi global sukarkan usaha menangani masalah kekurangan

MADRID: Pengeluaran makanan global, yang sudah dalam keadaan meruncing akibat kemelesetan ekonomi, perlu digandakan menjelang 2050 untuk mengelakkan masalah kelaparan teruk, kata Ketua Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) kelmarin.

"Krisis makanan menyebabkan 40 juta penduduk lagi berdepan kebuluran pada 2008," kata Jacques Diouf pada permulaan seminar antarabangsa dua hari mengenai makanan.

Ia menjadikan bilangan global penduduk yang kurang mendapat zat kepada 973 juta tahun lalu daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia berjumlah kira-kira 6.5 bilion.

"Kami berdepan cabaran kini bukan hanya untuk memastikan makanan mencukupi bagi 973 juta penduduk yang kini kelaparan tetapi juga memastikan masih ada makanan untuk sembilan bilion penduduk pada 2050.

"Kita perlu untuk menggandakan pengeluaran makanan global menjelang 2050," katanya.

Beliau, bagaimanapun memberi amaran krisis ekonomi global sudah pun menyukarkan usaha menangani masalah kekurangan makanan kerana menyusahkan petani mendapatkan pinjaman untuk membeli bahan mentah dan peralatan baru.

"Keadaan ekonomi kini tidak menjadikan tugas kita lebih mudah," katanya.

Kejatuhan harga makanan utama tertentu juga tidak menggalakkan petani untuk bercucuk tanam, yang menambah kesukaran untuk memenuhi matlamat FAO untuk mengurangkan bilangan penduduk yang kelaparan menjelang 2015, katanya.

Gabungan pelbagai faktor, termasuk tuaian teruk, perubahan diet dan penggunaan biofuel, bersama-sama menyebabkan harga makanan melambung membawa kepada bantahan di kira-kira 30 negara tahun lalu.

Menteri Bantuan Perkembangan Luar Negara Ireland, Peter Power, berkata krisis kelaparan tidak diberikan perhatian sama tahap dengan memerangi Aids, krisis kewangan global atau perubahan cuaca. � AFP

No comments:

Post a Comment