Thursday, January 29, 2009

Pakistan hapus duti 1,600 produk Malaysia

ARKIB : 29/01/2009 UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini mengumumkan yang Pakistan telah menghapuskan duti import ke atas lebih 1,600 produk Malaysia setakat Januari tahun ini.

Penghapusan duti itu adalah sebahagian daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA), kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Antara eksport Malaysia ke Pakistan yang akan mendapat manfaat daripada penghapusan duti ini ialah bahagian dan aksesori untuk mesin, unit pemprosesan digital, getah asli, kayu bergergaji, produk kimia perindustrian, buah-buahan dan kekacang, racun serangga perosak, mentega, lelemak dan minyak, kata MITI.

MITI turut menggesa komuniti perniagaan Malaysia merebut peluang daripada penghapusan duti ini memandangkan potensi untuk membekal produk dan perkhidmatan ke pasaran Pakistan amat luas.

"Penghapusan duti ini akan membolehkan pengeksport Malaysia ke Pakistan kelebihan berbanding pasaing mereka yang lain yang masih perlu membayar duti antara lima hingga 35 peratus," katanya.

Perjanjian MPCEPA dimeterai pada 8 November 2007 antara Malaysia dan Pakistan dan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun lepas.

Di bawah MPCEPA, kedua-dua Malaysia dan Pakistan, secara progresif akan mengurangkan dan menghapuskan tarif ke atas kebanyakan produk pertanian dan perindustrian menjelang 2014.

Dalam tahun pertama pelaksanaan MPCEPA, 91 syarikat Malaysia mendapat manfaat daripada tarif keutamaan yang diberikan oleh Pakistan.

Pada 2008, MITI mengeluarkan sejumlah 3,026 Pensijilan Asal (COO) dengan eksport berjumlah RM4 juta.

Pensijilan COO ialah dokumen yang mengesahkan produk negara asal dan ia diperlukan oleh syarikat Malaysia untuk layak bagi layanan keutamaan yang ditawarkan oleh Pakistan.

Menurut MITI, Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga menawarkan peluang dalam sektor perkhidmatan.

Pakistan telah membenarkan 60 peratus pemilikan asing untuk pembekal perkhidmatan Malaysia memulakan perniagaan di Pakistan.

Malaysia juga memperolehi akses pasaran yang baru, eksklusif dan lebih liberal berbanding negara-negara lain menerusi Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Sektor-sektor yang baru diliberalkan itu ialah perkhidmatan profesional seperti perundangan, perakaunan, auditing dan simpanan kira-kira, seni bina dan perkhidmatan veterinar, perkhidmatan perniagaan, telekomunikasi dan perkhidmatan agihan.

Sektor-sektor lain termasuklah pendidikan, persekitaran, perkhidmatan perubatan dan pergigian, rekreasi, kebudayaan dan aktiviti sukan dan aktiviti rel dan pengangkutan jalan.

Unit Perkhidmatan FTA Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyediakan bantuan kepada pengeksport untuk mengenal pasti produk yang menikmati layanan tarif keutamaan.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di MITI menerusi Jamaliah Hassan di 03- 6203 4807, dari Matrade menerusi Saifuddin Khalid di 03-6207 7632 atau dengan mengakses www.miti.gov.my.

Perdagangan Malaysia dengan Pakistan mulai Januari hingga November 2008 berjumlah RM5.7 bilion, terdiri daripada eksport RM5.3 bilion dan import bernilai RM395.5 juta.

FTA dengan Pakistan menyediakan peluang meluas bagi komuniti perniagaan kedua-dua negara untuk terus mengembangkan hubungan dagangan dua hala dan rantaian pelaburan.

Perjanjian itu juga membolehkan komuniti perniagaan Malaysia menggunakan Pakistan sebagai pangkalan untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau Asia Selatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment